Malaysia membuka kempen Kumpulan H Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) dengan langkah kanan apabila menewaskan Republik Dominica.
Anak buah P. Maniam berharap dapat membuka kempen kejohanan di Baku, Azerbaijan dengan kemenangan.
Sebaik perlawanan, skuad muda negara tampil garang dengan menyumbat dua gol dalam 20 minit.
Aqheef Haiqal Koko membuka tirai jaringan buat Malaysia B-15 pada minit ke-12. Lima minit selepas itu, giliran Anas Suffiyan Arif mencetak nama sebagai penjaring.
Republik Dominica mengurangkan defisit menerusi penalti pada minit ke-28. Amirul Faris Azlan memulihkan kembali kelebihan dua gol Malaysia pada minit ke-39.
Selepas ini, anak buah Maniam berharap dapat melebarkan rentak kemenangan apabila bertemu Syria pada 25 Oktober ini.


