Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia peroleh satu lagi berita gembira tatkala menerima tambahan insentif bernilai 5 angka hasil pencapaian memukau di Paris.
Aaron yang berpasangan bersama Soh Wooi Yik mempamer prestasi cemerlang di temasya Sukan Olimpik Paris yang lalu apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.
Pasangan ke-5 dunia ini menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam aksi tiga set untuk mempertahan pingat gangsa yang dimenangi di edisi Tokyo 2020.
Hasil kejayaan membanggakan ini, Aaron sebagai anak jati Melaka telah menerima insentif dari pihak kerajaan negeri sebanyak RM50,000 dalam satu majlis pada Isnin lalu.
Insentif bernilai lima angka ini telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh kepada Aaron Chia di Seri Bendahara.
“Terima kasih buat Kerajaan Negeri Melaka kerana sentiasa memberi semangat kepada atlet Melaka,” kata Aaron kepada Melaka Hari Ini.
Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik masing-masing telah menerima ganjaran bernilai RM100,000 hasil Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bersama enam lagi atlet yang cemerlang di Olimpik dan Paralimpik Paris.
Selain itu, Aaron yang berusia 27 tahun turut memperoleh insentif kewangan bernilai RM150,000 daripada 100PLUS pada awal Oktober lalu bersama Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia.