Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mendapat suntikan semangat menjelang saingan Arctic Open 2024 yang akan bermula pada 8 Oktober ini.
Ini selepas pemain nombor lima dunia itu menerima insentif kewangan berjumlah RM100,000 daripada syarikat minuman isotonik, 100PLUS.
Perkara ini turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi di platform media sosial X. “Satu lagi durian runtuh untuk Lee Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik. Zii Jia (terima) RM100,000 dan Aaron-Wooi Yik pula RM150,000,” katanya.
Insentif ini diberi kepada Zii Jia sebagai menghargai jasanya meraih pingat gangsa buat kontinjen negara dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Juara Thailand Open 2024 itu menjadi pemain perseorangan lelaki ketiga negara yang meraih pingat Olimpik selepas Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek.
Terdahulu, Zii Jia turut menerima ganjaran bernilai RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Beliau turut menerima hadiah sebuah kereta utiliti sukan (SUV) daripada Chery Malaysia.
Selain Zii Jia, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menerima insentif kewangan bernilai RM150,000 daripada 100PLUS.
Ini sebagai mengiktiraf jasa mereka mempertahankan pingat gangsa dalam acara beregu lelaki. Aaron-Wooi Yik mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di edisi Tokyo 2020.