Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal membelasah kelab India, Mumbai City 6-0 dalam aksi ketiga Kumpulan D ACL 2023-2024 hari ini.
The Blue Waves masih lagi satu pasukan yang kuat biarpun kehilangan khidmat Neymar yang berehat panjang akibat kecederaan.
Dengan penjaring terbanyak Aleksandar Mitrovic mengetuai serangan, Mumbai City bakal berdepan kesukaran mengekang merantai pergerakan bekas penyerang Fulham itu.
Kerisauan The Islanders menjadi kenyataan seawal minit kelima apabila penyerang Serbia itu meletakkan Al-Hilal di hadapan selepas menerima hantaran Mohammed Al-Burayk.
Tuan rumah terus mendominasi perlawanan menerusi lima percubaan tepat daripada lapan percubaan yang direkodkan Sofascore. Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Jorge Jesus terus memburu gol kedua bagi melebarkan kelebihan yang dimiliki.
Kapten Mumbai City, Rostyn Griffith hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-60 tetapi tandukannya tersasar.
Percubaan tersebut mengejutkan Al-Hilal daripada terus terleka. Mitrovic kemudiannya menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-67 menerusi tandukan yang menewaskan Phurba Lachenpa.
Bekas penyerang Fulham itu hampir menambah gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-72. Bagaimanapun, percubaan derasnya itu berjaya ditangkap Lachenpa.
Rakan senegara Mitrovic, Sergej Milinkovic-Savic menambah gol ketiga Al-Hilal pada minit ke-75.
Hatrik yang dicari penyerang Serbia itu akhirnya muncul pada minit ke-80 menerusi satu rembatan cantik yang menewaskan Lachenpa.
Mitrovic kemudiannya menjadi pencipta gol apabila hantarannya mudah disempurnakan Al-Burayk untuk gol kelima tuan rumah dua minit selepas itu.
Pemain gantian, Abdullah Al-Malki melengkapkan malam gemilang The Blue Waves dengan gol keenam pada minit akhir perlawanan.
Keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini memastikan Al-Hilal kekal mendahului Kumpulan D dari segi kelebihan jaringan mengatasi kelab Uzbekistan, Navbahor.
Sementara Mumbai City pula kekal di tangga tercorot dengan mereka dibolosi buat kali ke-11 dalam tiga perlawanan ACL musim ini.
Hatrik Mitrovic sudah cukup untuk meletakkannya sebagai pemain terbaik perlawanan dengan Sofascore memberi markah 9.8 untuk persembahannya.
Kini, fokus Al-Hilal seterusnya ialah aksi Saudi Pro League seterusnya menentang Al-Ahli pada hujung minggu ini.