Kelab Singapore Premier League (SPL), Lion City Sailors melakar kemenangan pertama dalam Kumpulan F dengan menewaskan wakil Hong Kong, Kitchee.
Selepas tunduk kepada Bangkok United dalam aksi pertama, The Sailors berharap dapat bangkit dalam aksi kedua kumpulan ACL.
Sementara Kitchee pula berharap persembahan pada aksi pertama menentang Jeonbuk Hyundai Motors dapat diterjemah kepada kemenangan ke atas wakil Singapura itu.
Bagaimanapun, impian anak-anak buah jurulatih interim Kim Dong-jin itu punah pada minit ke-14. Penyerang Belanda, Richairo Zivkovic menewaskan Paulo Cesar bagi meletakkan The Sailors di hadapan.
The Bluebirds makin tertekan apabila kelab Singapura itu dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-37. Pemain sayap Belgium, Maxime Lestienne tenang menewaskan Cesar bagi memastikan The Sailors selesa di hadapan.
Bersambung pada babak kedua, Dong-jin membuat beberapa pertukaran dengan harapan mendorong tuan rumah untuk bangkit.
Bagaimanapun, benteng The Sailors yang diterajui bekas pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hariss Harun memastikan gawang mereka tidak dibolosi.
Pelawat mula cemas apabila pemain gantian Jakob Jantscher merapatkan jurang pada minit ke-88.
Gol tersebut sudah terlewat buat Kitchee dengan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini sekaligus membolehkan The Sailors menduduki tangga kedua Kumpulan F di belakang Bangkok United.