Kelab Uzbekistan, Navbahor Namangan membuktikan mereka pasukan liat dalam Kumpulan D apabila mengatasi kelab gergasi India, Mumbai City di Stadium Markaziy.
Walaupun baru membuat debut dalam ACL, Navbahor membuktikan keupayaan mereka dengan mengikat Al-Hilal 1-1 dalam aksi pertama. Manakala The Islanders pula tewas kepada kelab Iran, Nassaji Mazandaran.
Biarpun beraksi di gelanggang lawan, anak-anak buah Des Buckingham berusaha mencari gol awal pada babak pertama.
Greg Stewart berpeluang meletakkan Mumbai City di hadapan menerusi penalti pada minit ke-43. Bagaimanapun, penalti itu gagal disempurnakan beliau.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah mula mengorak langkah. Jamshid Iskanderov meletakkan Navbahor di hadapan pada minit ke-52.
Tersentak, jentera serangan pelawat diketuai bekas penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jorge Diaz mula mengasak tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, Navbahor menggandakan kelebihan mereka menerusi Jasurbek Yakshiboyev pada minit ke-58. Yakshiboyev yang tidak dikawal mudah menewaskan Phurba Lacenpa.
Kelab satelit Manchester City itu terus bergelut mencari peluang untuk merapatkan kedudukan. Pemain gantian, Doniyor Abdumannopov memastikan kemenangan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-88.
Kemenangan ini meletakkan Navbahor sebagai pendahulu kumpulan D untuk seketika dengan empat mata.
Begitupun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya Al-Hilal meraih kemenangan besar ke atas Nassaji Mazandaran dalam satu lagi aksi Kumpulan D tengah malam ini.