Hasrat Port FC mencatat rekod tanpa tewas dalam saingan AFC Champions League 2 tidak kesampaian apabila mereka terpaksa akur selepas tewas kepada wakil dari Singapura, Lipn City Sailors.
Perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Pathum Thani itu berkesudahan dengan kemenangan milik Lion City dengan keputusan 3-1.
Babak separuh masa pertama menyaksikan pasukan pelawat mendahului dengan dua jaringan awal. Pemain sayap Lion City, Syawal Anuar memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-14 sebelum sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-17 permainan.
Dua jaringan daripada Syawal itu memastikan Lion City mendahului aksi di separuh masa pertama dengan keputusan 2-0.
Bersambung aksi di babak kedua perlawanan, pemain import Port FC, Noboru Shimura cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-55 permainan selepas memanfaatkan hantaran Kevin Deeromram untuk gol pertama pasukan tuan rumah.
Selang sepuluh minit selepas itu, Song Ui Yong melebarkan kedudukan buat Lion City Sailors sekaligus menutup aksi di Stadium Pathum Thani dengan tiga mata diraih pasukan pelawat selepas menewaskan Port FC dengan keputusan 3-1.
Dalam saingan peringkat Kumpulan F ketika ini, Lion City menghuni tangga pertama dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan sementara Port FC di kedudukan kedua dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan.
Selepas ini, Port FC bakal berdepan Zhejiang sementara Lion City bakal bertemu wakil dari Indonesia, Persib Bandung pada 7 November 2024.