Advertisements
ACL2: “Saya Lebih Takut Selangor Tak Cipta Peluang” – Nidzam Jamil
ACL
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor, Nidzam Jamil berpuas hati dengan usaha pasukannya untuk mencipta serangan meskipun hanya menewaskan DH Cebu 1-0 dalam aksi kedua AFC Champions League 2 (ACL2).

Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal daripada Yohandry Orozco berjaya memastikan Selangor meraih 3 mata pertama dalam saingan ACL2 meskipun menguasai sebahagian besar permainan.

Menurut Nidzam, tiga mata yang diraih pada Khamis amat penting dan merasakan Selangor kini memulakan kempen di Asia dengan baik setelah dua perlawanan awal.

”Kami gembira dengan kemenangan ini, dan sekarang kita sudah mengumpul empat mata dari dua perlawanan. Saya rasa ini permulaan yang baik buat Selangor,” ujar Nidzam ketika sesi sidang media.

Tambah beliau, usaha Selangor yang masih tetap mencipta peluang membuatkan Nidzam lega dan percaya anak-anak buahnya masih mempunyai harapan di masa akan datang.

”Saya lebih takut kalau kita (Selangor) tak mencipta peluang. Kalau kita terus mencipta (peluang) seperti ini, saya rasa masih ada harapan,” tambah Nidzam.

Bahkan beliau merasa gusar sekiranya anak didiknya gagal mencipta sebarang ruang dan peluang ke arah kubu lawan dan yang penting misi menyerang dan bertahan pasukannya terlaksana.

”Kalau kita tak mencipta langsung (peluang) dalam bola sepak, saya rasa kita perlu periksa semula, apa yang saya nak sampaikan di sini adalah kita tidak dibolosi dan kita menjaringkan gol.”

Bekas pengendali Felda United tidak menolak untuk melihat Selangor meraih kemenangan besar namun berdepan lawan yang berdisiplin bukan tugas mudah dan keputusan di Kelana Jaya disifatkan sebagai adil.

“Sudah tentu semua pasukan impikan 3-0, 4-0, 5-0 tetapi dalam bola sepak, kita hormati pasukan lawan. Bukan mudah untuk bertemu lawan yang begitu berdisiplin.”

”Saya akui kita memang ada banyak peluang tapi keputusan 1-0 malam ini saya rasa adalah keputusan yang adil untuk semua.”

Kemenangan ini meletakkan The Red Giants di tangga kedua kumpulan H dengan empat mata setelah merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam dua perlawanan.

Aksi ACL2 seterusnya menyaksikan Selangor bakal melayani kunjungan jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai manakala DH Cebu akan bertemu Muangthong United di tempat lawan pada 23 Oktober.