ACLE: Al-Shorta Kekang Cabaran Al-Nassr
MakanBola
AFC
Sponsors

Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr membuka tirai kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan satu mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Al-Shorta SC di Baghdad, Iraq.

Meskipun turun tanpa Cristiano Ronaldo yang perlu berehat kerana jangkitan virus dan berstatus pasukan pelawat, Al-Alami masih dianggap pasukan pilihan.

Ad
Sponsors

Ini kerana pasukan itu dibarisi ramai pemain bintang termasuk Marcelo Brozovic, Sadio Mane dan Otavio. Manakala penyerang Syria, Mahmoud Al-Mawas diberi tugas oleh Al-Shorta untuk merobek gawang Al-Nassr.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Pelawat terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-14 menerusi kapten, Sultan Al-Ghannam.

Ad

Selepas menerima hantaran Brozovic, Sultan meledakkan rembatan deras yang menewaskan kapten dan penjaga gol Al-Qithara, Ahmed Basil.

Ad

Keceriaan Al-Nassr tidak bertahan lama apabila Mohammed Dawood menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu. Salah faham antara pertahanan Al-Alami dan penjaga gol Brazil, Bento pantas dihukum Dawood untuk gol penyamaan.

Ad

Al-Nassr menyangka mereka ditimpa malang apabila pengadil memberi sepakan penalti kepada Al-Shorta pada minit ke-42. Walau bagaimanapun, keputusan itu ditukar kepada sepakan percuma dari luar kotak pengadil selepas insiden tersebut disemak oleh pegawai VAR.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Al-Alami terus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol kedua perlawanan. Jurulatih Al-Nassr, Luis Castro memasukkan Angelo untuk menambah sengat di bahagian serangan pasukan itu.

Mane hampir menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-49. Penyerang Senegal itu hampa apabila rembatan derasnya berjaya dinafikan Basil.

Al-Nassr terus buntu mencari gol kedua perlawanan. Ini disebabkan pelan taktikal jurulatih Al-Shorta, Ahmed Salah untuk bertahan dalam kotak penalti dan mencari peluang melancarkan serangan balas.

Pemain gantian, Mohanad Ali hampir mencuri gol kemenangan pada minit ke-90. Malangnya, percubaan penyerang berusia 24 tahun itu pantas dinafikan Bento.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Al-Alami dan Al-Qithara membuka kempen ACLE dengan satu mata.

Kesungguhan pemain perancang Portugal, Otavio merencana serangan Al-Nassr diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau merekodkan 7.9 mata, 0.2 mata di hadapan rakan sepasukan, Mohamed Simakan.

Selepas ini, Al-Nassr akan kembali mengharungi kempen liga dengan menentang Al-Ettifaq pada awal pagi 21 September. Manakala Al-Shorta pula bersedia menghadapi Al-Hilal pula untuk aksi ACLE seterusnya pada awal pagi 2 Oktober.