Buriram United menampilkan aksi hebat apabila gah menewaskan Pohang Steelers untuk meraih tiga mata berharga dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Wakil dari Thailand itu sebelum ini meraih satu kemenangan dan satu seri dalam dua aksi terdahulu untuk meraih empat mata dalam kumpulan A.
Pohang Steelers pula telah mengutip 3 mata setelah menang sekali dan tewas sekali dalam dua perlawanan terdahulu.
Bintang Malaysia, Dion Cools membarisi kesebelasan utama Buriram United dengan Neil Etheridge turun selaku penjaga gawang utama.
Pohang Steelers tampil menggandingkan dua penyerang yang dibarisi Jorge Luis dan juga Baek Sung-dong untuk menguji tembok pertahanan Buriram United.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan Pohang Steelers lebih dominan dalam melancarkan serangan apabila mencatatkan 7 percubaan berbanding Buriram United yang merekodkan 1 percubaan.
Namun kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kedudukan seri tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Buriram United berjaya membolosi pintu gol Pohang menerusi jaringan Guilherme Bissoli pada minit ke-56 permainan.
Pohang cuba untuk bangkit namun gagal untuk memecahkan blok pertahanan Buriram United.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada Buriram United ke atas Pohang Steelers dengan jaringan 1-0.
Buriram United kini menghuni kedudukan kedua kumpulan B dengan mengumpul 7 mata manakala Pohang pula jatuh ke tangga ke-10 dengan mengumpul 3 mata.
Buriram United akan melawan Yokohama FM untuk aksi ACLE yang seterusnya pada 6 November kelak manakala Pohang Steelers pula akan menentang Shandong Taishan.