Saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/25 dijangka memberi cabaran berbeza kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Sebelum ini, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menggunakan format kumpulan bagi menentukan pasukan mana layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Musim 2023/24 merupakan musim terakhir format ini digunakan dalam ACL sebelum pengenalan ACLE untuk musim 2024/25. ACLE menggunakan format liga untuk bahagian Timur dan Barat membabitkan 12 pasukan.
Setiap pasukan bakal berdepan lapan pasukan berbeza dengan empat daripadanya diadakan di gelanggang sendiri. Sementara baki empat lagi pasukan bakal dihadapi di gelanggang lawan.
AFC turut menyatakan pasukan-pasukan dari negara yang sama tidak akan bertembung sesama sendiri semasa format liga berlangsung. Lapan perlawanan ini akan berlangsung dari September 2024 hingga Februari 2025.
Lapan pasukan terbaik dari setiap liga Timur dan Barat akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. Pusingan berkenaan bakal berlangsung pada Mac 2025.
JDT berada dalam Balang 1 bersama Buriram United, Shanghai Port, Ulsan HD dan Central Coast Mariners. Manakala Balang 2 pula mengandungi Kawasaki Frontale, Yokohama F Marinos, Pohang Steelers, Shanghai Shenhua dan Shandong Taishan.
Undian yang bakal menentukan siapa lawan JDT bakal diadakan pada 16 Ogos ini pada jam 5.00 petang. Undian boleh ditonton secara langsung menerusi platform YouTube AFC Hub.