Rekod kebal Johor Darul Ta’zim (JDT) di China dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musnah apabila pasukan itu tewas kepada Shandong Taishan di Jinan.
Harimau Selatan berharap dapat memadamkan memori tewas kepada lawan sama dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2019. Taishan Dui pula mahu bangkit selepas tewas kepada Shanghai Port dalam aksi final Chinese FA Cup 2024.
Arif Aiman Hanapi, Jorge Obregon dan Juan Muniz terus menjadi sandaran gol JDT. Pengendali Shandong, Choi Kang-hee memilih menurunkan barisan muda dengan Wang Dalei dan Marcel sebagai tonggak berpengalaman untuk aksi ini.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi Arif, Obregon dan Muniz.
Situasi ini mendorong Shandong terpaksa bertahan dan menggunakan serangan balas pantas untuk mengakali juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
Bi Jin Hao hampir meletakkan Taishan Dui di hadapan seawal minit keempat perlawanan tetapi percubaannya tersasar.
JDT perlahan-lahan mula meningkatkan penguasaan bola. Obregon hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-20 tetapi Dalei pantas menyekat rembatannya.
Lapan minit selepas itu, giliran Arif pula menguji penjaga gol antarabangsa China itu. Malangnya, percubaan beliau dan percubaan susulan Oscar Arribas berjaya disekat Dalei.
JDT mendakwa mereka sepatutnya mendapat penalti apabila Dalei dikesan menjatuhkan Arif pada minit ke-32. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dilayan pengadil Australia, Alireza Faghani.
Kedua-dua pasukan terus berusaha memecah kebuntuan perlawanan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Taishan Dui membuat tiga pertukaran pemain termasuk dua tonggak import mereka dari Brazil, Cryzan dan Zeca.
Percaturan itu hampir membuahkan hasil seawal minit ke-46. Larian pantas Chen Pu gagal disempurnakan Bi Jin Hao meskipun gawang JDT sudah terbuka.
Seminit selepas itu, giliran Arribas pula mencemaskan gawang tuan rumah. Selepas berjaya melepasi pertahanan Shandong, pemain berdarah Sepanyol-Filipina itu melepaskan rembatan yang berjaya ditepis Dalei.
JDT kemudiannya memasukkan Bergson da Silva menggantikan Obregon untuk menambah ketajaman di bahagian serangan. Penjaring terbanyak Liga Super itu hampir memecah kebuntuan pada minit ke-62 tetapi dihalang oleh Dalei.
Tatkala Harimau Selatan rancak menyerang, Zeca menceriakan penyokong Shandong menerusi gol pada minit ke-68. Situasi ini mendorong pengendali JDT, Hector Bidoglio memasukkan Heberty Fernandes untuk mengubah semula momentum perlawanan.
Malangnya, Taishan Dui terus kental mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT jatuh ke tangga kelima Liga Timur ACLE.
Shandong pula kini di tangga ketujuh dengan tujuh mata selepas mengharungi lima aksi ACLE. Selepas ini, mereka akan bersiap sedia menentang Kawasaki Frontale pada 4 Disember.
JDT pula mengalihkan fokus untuk aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang KL Rovers FC pada 30 November.
Sofascore memilih Dalei sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.2, 0.6 mata di hadapan Cryzan.