Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Perancis, Enzo Lombardo menjelang aksi kedua Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Sejak menyertai Harimau Selatan sebagai ejen bebas dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), bekas pemain sayap Huesca itu sentiasa berada dalam perancangan jurulatih, Hector Bidoglio.
Ini dibuktikan dengan tiga penampilannya dalam Liga Super setakat ini. Lombardo turut merekodkan satu bantuan gol buat Arif Aiman Hanapi dalam aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 22 September lalu.
Walau bagaimanapun, hajat penyokong Harimau Selatan melihat Lombardo mewarnai kempen ACLE musim 2024/25 tidak kesampaian.
Ini selepas Bidoglio mengesahkan khidmat bekas pemain sayap Racing Santander itu terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan. Perkara ini dinyatakan beliau dalam sidang media pra-perlawanan JDT-Shanghai Shenhua.
“Untuk (perlawanan menentang Shanghai Shenhua) esok, Enzo (Lombardo) tidak diturunkan,” katanya ringkas.
Meskipun terpaksa melupakan khidmat Lombardo, Bidoglio masih memiliki banyak pilihan di bahagian sayap JDT.
Selain Arif dan Lombardo, beliau juga mampu memanfaatkan khidmat Mohamadou Sumareh, Oscar Arribas, Juan Muniz, Heberty Fernandes dan Romel Morales sebagai alternatif.
JDT bakal berhadapan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Oktober ini. Terdahulu, Harimau Selatan merekodkan satu mata dalam Liga Timur ACLE selepas mengikat musuh setempat Shenhua, Shanghai Port 2-2 di Shanghai.