Yokohama F. Marinos membawa bekalan satu gol untuk aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menewaskan Shanghai Port.
Marinos berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan lawan sama di Shanghai pada 19 Februari. Port pula melihat aksi ini sebagai peluang membalas dendam terhadap kelab Jepun itu.
Kapten dan penjaring terbanyak ACLE Marinos, Anderson Lopes terus mengetuai jentera serangan. Pengendali Port, Kevin Muscat pula menurunkan Leonardo dan Gustavo untuk merobek gawang pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan kelab Jepun itu hampir mendahului pada minit ke-11 menerusi Lopes. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Port, Yan Junling.
Gol yang dicari anak buah Steve Holland itu hadir pada minit ke-30. Lopes menyumbat gol ketujuh dalam ACLE dengan menanduk bola melepasi Junling.
Tersentak, Port mula memberi tekanan menerusi Leonardo, Gustavo dan Mateus Vital tetapi tidak berhasil.
Kerja keras barisan pertahanan Marinos diketuai bek tengah Indonesia, Sandy Walsh memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Port terus memperkemas barisan mereka dengan memasukkan Ablahan Haliq.
Vital hampir menyumbat gol sulungnya bersama Port menerusi percubaan pada minit ke-53. Walau bagaimanapun, percubaan pemain sayap berusia 27 tahun itu dinafikan penjaga gol Marinos, Park Il-kyu.
Vital terus mencemaskan barisan pertahanan pelawat dengan membuat tandukan pada minit ke-75. Malangnya, tandukannya hanya mengenai bahagian tepi gol.
Port terus memberi tekanan ke atas Marinos dengan sokongan padu penyokong di Stadium Bola Sepak Pudong. Pada akhirnya, Marinos membawa bekalan satu gol untuk aksi timbal balik di Yokohama.
Sofascore memilih Lopes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.4. Beliau mengatasi cabaran Walsh dan Riku Yamane yang meraih 7.3 mata.
Port masih memiliki peluang untuk mara ke suku akhir. Mereka hanya perlu mengatasi defisit satu gol untuk aksi kedua pusingan 16 terbaik pada 11 Mac.