Shanghai Port gagal menamatkan Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan kemenangan apabila tewas 2-0 kepada Yokohama F. Marinos.
Susulan AFC mengumumkan penarikan diri Shandong Taishan dari saingan ACLE, ini membuka ruang buat The Red Eagles untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.
Ini kerana hanya lapan pasukan terbaik saja yang layak ke pusingan 16 ACLE. Marinos pula berharap dapat menamatkan kempen Liga Timur ACLE sebagai peneraju liga.
Aksi ini menyaksikan Sandy Walsh diturunkan di bek tengah selepas menyertai Marinos. Gustavo pula mengetuai jentera serangan Port.
Separuh masa pertama menyaksikan Marinos berusaha mencari gol pendahuluan menerusi penjaring terbanyak mereka dari Brazil, Anderson Lopes.
Lopes hampir membuka tirai jaringan buat pelawat pada minit ke-17. Malangnya, rembatan bekas penyerang FC Seoul itu dinafikan penjaga gol Port, Yan Junling.
Leonardo hampir menceriakan kem The Red Eagles pada minit ke-39 tetapi percubaannya disekat barisan pertahanan Marinos.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, pengendali Port, Kevin Muscat memasukkan Zhang Linpeng menggantikan kapten dan bek tengah, Li Ang.
Kemasukan Linpeng tidak menghalang Marinos memberi tekanan kepada tuan rumah. Yan Matheus hampir menyumbat gol pertama pada minit ke-46 tetapi dinafikan Junling.
Kesukaran Marinos menembusi pertahanan Port mendorong bekas jurulatih England, Steve Holland memasukkan Elber, Kenta Inoue dan Kota Watanabe.
Kemasukan trio tersebut membuahkan hasil buat pelawat. Asahi Uenaka meletakkan Marinos di hadapan pada minit ke-64.
Tatkala The Red Eagles cuba bangkit, gawang mereka bocor lagi lima minit selepas itu. Kali ini, giliran Jun Amano pula yang menewaskan Junling.
Port terus berusaha untuk merapatkan jurang gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Marinos menamatkan kempen Liga Timur ACLE di tempat pertama dengan 15 mata.
Port tetap layak ke pusingan 16 terbaik di tempat kelapan meskipun hanya memiliki lapan mata. Ironinya, Port dan Marinos bakal bertemu lagi di pusingan seterusnya.
Ini kerana pasukan nombor satu Liga Timur ACLE akan berentap dengan pasukan kelapan liga di peringkat berkenaan.
Sofascore memilih Amano sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Beliau mengatasi Uenaka dan Toichi Suzuki yang masing-masing meraih 7.6 dan 7.4 mata.