Kelab China, Shandong Taishan mencipta kejutan dengan menarik diri daripada aksi terakhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Ulsan HD FC.
Penarikan diri kelab tersebut turut disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Susulan itu, tindakan Shandong bakal dirujuk kepada jawatankuasa AFC untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, Shandong memaklumkan isu kecergasan membabitkan pemain-pemain mereka mendorong keputusan menarik diri daripada aksi menentang Ulsan dibuat.
Pengurusan kelab China itu turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk Ulsan atas apa yang berlaku.
“Disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain, selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan, pemain-pemain tidak dapat membentuk pasukan untuk beraksi dalam aksi ACLE menentang Ulsan HD,” kata kelab seperti dilaporkan Hotpot Football.
“Kami amat kesal dengan keputusan ini dan memohon maaf kepada AFC, Ulsan HD dan para penyokong.”
Tindakan mengejut Shandong tercetus tatkala pasukan yang dibimbing Choi Kang-hee itu berada dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.
Shandong berpeluang memintas Buriram United jika berjaya menewaskan Ulsan HD dalam aksi terakhir yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari.
Jika senario itu berlaku, Shandong bukan saja layak ke pusingan 16 terbaik ACLE. Malah, pasukan itu akan menentang Vissel Kobe dalam pusingan seterusnya.
Susulan itu, pengurusan Ulsan memaklumkan penyokong yang membeli tiket untuk aksi berkenaan bakal mendapat pulangan wang semula.
Tindakan Shandong dilihat memberi peluang kepada Shanghai Port untuk layak ke pusingan seterusnya. Mereka kini hanya perlu menang dengan Yokohama F. Marinos dalam aksi terakhir mereka.