Addie Azwan Zainal sah memikul tugas sebagai jurulatih skuad futsal Malaysia yang baharu.
Pemilihan beliau sekaligus mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih sebelumnya dari Thailand, Rakhpol Sainetngam. Pelantikan beliau diumumkan FAM dalam satu kenyataan.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa legenda futsal negara, Addie Azwan Zainal secara rasminya dilantik sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu bagi menggantikan Rakphol Sainetngam,” kata FAM dalam satu kenyataan.
“Rakphol, 47, tidak memperbaharui kontrak sebagai ketua jurulatih futsal Harimau Malaya yang berakhir pada 31 Disember 2025 untuk kembali ke negara asalnya sebagai ketua jurulatih futsal Thailand yang baharu.
“Addie Azwan yang akan genap berusia 46 tahun pada 18 Jun 2026 merupakan penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan sejak Rakphol membimbing skuad futsal Harimau Malaya bermula pada Ogos 2023.”
Pemilihan Addie Azwan menyaksikan kerusi panas itu kembali diisi jurulatih tempatan. Sebelum ini, Chiew Chun Yong menggalas tugas sebagai jurulatih dari 2017 hingga 2023.
Pemilihan Addie Azwan turut bertepatan dengan hasrat Rakhpol yang melihat beliau sebagai calon pengganti terbaik.
“Beliau (Addie Azwan) seorang jurulatih yang bagus dan tahu gaya permainan saya. Beliau juga sudah memahami para pemain,” katanya.
“Saya bekerja dengan Addie selama dua tahun setengah. Saya sokong Addie bukan saja kerana beliau jurulatih tempatan tetapi juga beliau ada banyak pengetahuan.
“Beliau memahami pemain Malaysia dan beliau mempunyai idea yang bagus. Kadang-kadang saya dapat idea bagus daripada beliau. Jadi, saya harap Addie Azwan dapat digunakan untuk Piala Asia Futsal.”
Selain Rakhpol, Addie Azwan juga pernah menjadi pembantu Maizal Hairi Marzuki (2011-2013) dan Marcelo Serpa (2013-2016). Beliau juga pernah membimbing skuad futsal wanita kebangsaan pada 2018.
Tugasan pertama Addie Azwan ialah saingan Piala Asia Futsal 2026 yang akan berlangsung pada penghujung Januari ini.