Bekas pengendali skuad futsal Malaysia, Rakhpol Sainetngam percaya pembantunya, Addie Azwan Zainal calon terbaik sebagai pengganti beliau.
Hal ini dinyatakan jurulatih Thailand itu apabila ditanya tentang siapa bakal mengisi kerusi panas itu.
Rakhpol melihat Addie Azwan sebagai seorang jurulatih berkualiti dan wajar diberi peluang membimbing skuad negara di pentas antarabangsa.
Ini termasuk tugasan Piala Asia Futsal 2026 yang bakal dihadapi skuad futsal Malaysia tidak lama lagi.
“Beliau (Addie Azwan) seorang jurulatih yang bagus dan tahu gaya permainan saya. Beliau juga sudah memahami para pemain,” katanya kepada Nadi Arena.
“Saya bekerja dengan Addie selama dua tahun setengah. Saya sokong Addie bukan saja kerana beliau jurulatih tempatan tetapi juga beliau ada banyak pengetahuan.
“Beliau memahami pemain Malaysia dan beliau mempunyai idea yang bagus. Kadang-kadang saya dapat idea bagus daripada beliau. Jadi, saya harap Addie Azwan dapat digunakan untuk Piala Asia Futsal.”
Rakhpol kini menggalas tugas sebagai jurulatih skuad futsal Thailand. Beliau menggantikan jurulatih Sepanyol, Miguel Rodrigo yang memilih bersara selepas tamat Sukan SEA 2025.