Addie Azwan Panggil Dua Pemain Malaysia B-19
UltraSukan
FA Malaysia

Jurulatih baharu skuad futsal Malaysia, Addie Azwan Zainal memanggil dua pemain skuad Malaysia B-19 ke kem latihan pusat menjelang Piala Asia Futsal 2026.

Ini berdasarkan senarai 20 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di platform rasmi mereka.

Dua pemain tersebut ialah kapten skuad Malaysia B-19, Faaris Amsyar Marhaidi dan Aidil Zakwan Zaidi. Mereka dipilih selepas tampil cemerlang dalam saingan ASEAN Futsal Cup B-19 baru-baru ini.

Selain duo berkenaan, Addie Azwan turut memanggil semula empat pemain iaitu Syawal Sabaruddin, Haiqal Hasnor, Norakmal Norizal dan Syahmie Rosli.

Tonggak senior seperti Syahir Iqbal Khan Akbar Khan, Awaluddin Mat Nawi, Khairul Effendy Bahrin dan Harith Naim Nasir terus mendapat kepercayaan beliau.

Skuad futsal negara akan berlatih di Arena Futsal FAM dari 11 hingga 16 Januari sebelum bertolak ke Jakarta sehari selepas itu.

Selepas tiba di Indonesia, anak buah Addie Azwan akan mengadakan beberapa aksi persahabatan sebagai pemanas badan sebelum Piala Asia Futsal 2026 bermula.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan D dengan menentang pasukan nombor satu Asia, Iran pada 28 Januari. Ini disusuli aksi menentang Afghanistan pada 30 Januari dan Arab Saudi (1 Februari).