Adib Ra’op Mohon Maaf
MakanBola
PENANG FC

Bek kiri Penang, Adib Ra’op memohon maaf selepas tamat perlawanan bertemu Imigresen pada Sabtu.

Pasukan Penang yang bertandang ke Stadium Tuanku Syed Putra pada Sabtu lalu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi minggu ke-22 saingan Liga Super Malaysia musim ini.

Walau bagaimanapun, Harimau Kumbang wajar berbangga kerana berjaya beraksi dengan penuh semangat di laman lawan meskipun menamatkan perlawanan dengan hanya sembilan pemain selepas dua tonggak, Adib Ra’op dan Stefano Brundo, dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.

Menerusi suatu hantaran di laman Penang, Adib Ra’op memohon maaf kepada rakan sepasukan dan penyokong setia Harimau Kumbang memberikan dukungan penuh buat pasukan di aksi tersebut.

Menurut Adib Ra’op, beliau berasa penuh kesal dan memohon maaf kepada semua rakan sepasukan & barisan pengurusan termasuk kejurulatihan berhubung insiden tersebut yang melayakkan menerima kad merah aksi.

“Saya dengan penuh rasa kesal ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan dan terutama sekali kepada semua penyokong setia Penang FC berhubung insiden kad merah serta tindakan saya dalam perlawanan Liga Super menentang Imigresen FC baru-baru ini.”

Tambah beliau, kejadian tersebut merupakan pengajaran terbesar buat Adib Ra’op dan mengharapkan penyokong-penyokong setia Penang memberikan sokongan penuh bagi aksi final kedua MFL Challenge Cup di Stadium Likas pada Ahad.

“Insiden ini merupakan satu pengajaran besar buat saya dan saya berjanji ia tidak akan berulang lagi. Saya bersama rakan sepasukan akan memberikan sepenuh komitmen dan yang terbaik dalam perlawanan akhir MFL Challenge Cup menentang Sabah FC hujung minggu ini.”

“Sekali lagi, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua penyokong Harimau Kumbang. Teruskan menyokong pasukan kerana sokongan anda amat kami perlukan menjelang perlawanan penting pada Ahad ini,” kata Adib Ra’op di laman media sosial Penang pada Isnin.

Pasukan Penang bakal meneruskan aksi dengan menentang Sabah dalam perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup musim ini yang akan berlangsung di Stadium Likas pada Ahad hadapan.