Advertisements
AFC Asian Cup: China Merana Diaibkan Qatar
Asia
MakanBola
AFC Asian Cup

China meneruskan ketumpulan mereka di Piala Asia 2023 selepas tewas kepada tuan rumah, Qatar pada aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Advertisement

Qatar melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dengan dua tonggak utama pasukan iaitu Akram Afif dan Almoez Ali hanya diletakkan di bangku simpanan manakala China pula tidak menurunkan bintang mereka iaitu Wu Lei.

Aksi dimulakan dengan penguasaan bola dilihat lebih terarah kepada pasukan Qatar dengan variasi hantaran yang tepat.

Advertisement

Biarpun Qatar mendominasi perlawanan namun mereka gagal membuat percubaan merbahaya ke gawang China. China dilihat lebih garang dengan beberapa gerak serangan merbahaya.

Peluang keemasan hadir buat China pada minit ke-20 namun percubaan Shihao Wei di hadapan gol tidak menepati sasaran.

Advertisement

15 minit kemudian, Shihao Wei sekali lagi terlepas peluang keemasan apabila percubaan jarak dekatnya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Qatar, Saad Al-Sheeb.

Advertisement

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Qatar membuat beberapa pertukaran bagi menambah sengat di bahagian serangan mereka yang dilihat agak tumpul pada babak pertama.

Advertisement

Kemasukan Akram Afif dan Hassan Al-Haydos pada babak kedua jelas menjadi nadi kebangkitan Qatar yang dilihat agak kurang berkesan dalam perlawanan ini.

Gandingan Akram dan Hassan akhirnya membuahkan magis buat Qatar apabila pada minit ke-66, Hassan meledak gol menarik dari luar kotak penalti selepas menyudahkan sepakan penjuru yang diambil Akram Afif. Qatar di hadapan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, China membawa masuk bintang mereka, Wu Lei bagi menggantikan Shihao Wei yang telah melepaskan dua peluang keemasan buat China.

China berjaya menjaringkan gol pada minit ke-87 namun jaringan yang dihasilkan Jiang Shenglong dibatalkan selepas bola terlebih dahulu telah keluar dari permainan sebelum gol terhasil.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat permainan dengan menyaksikan Qatar yang telah layak ke pusingan 16 terakhir terus melebarkan rekod tanpa bolos dalam kempen Piala Asia kali ini.

China masih berpeluang layak ke pusingan 16 terakhir kejohanan dengan sebagai empat pasukan tempat ketiga terbaik namun ianya bergantung kepada keputusan perlawanan yang melibatkan Oman, Syria dan Palestin.