Gelagat yang ditampilkan oleh pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Moses Atede mencuri perhatian ramai di Piala AFC 2023.
Pemain kelahiran Bahrain itu membantu negaranya untuk berdepan pasukan ke-22 dunia, Korea Selatan bagi aksi pertama Kumpulan E.
Ketenangan beliau mengemudi jentera tengah pasukan Dilmun Warriors terserlah apabila banyak menafikan gerakan lawan.
Pemain berusia 27 tahun ini bekerja keras termasuklah terlibat dengan beberapa siri gerakan menarik untuk membantu anak buah Antonio Pizzi memberikan cabaran hebat kepada Taeguk Warriors.
Atede bagaimanapun mencuri perhatian ramai di Stadium Jasim bin Hamad apabila mengekang serangan balas lawan dengan gerakan yang cukup baik.
Ketika babak pertama, beliau terlepas kawalan bola namun mahu menyekat kemaraan anak didik Jurgen Klinsmann.
Atede sempat menangkap bola dari kaki lawan ketika beliau terjatuh semasa perebutan bola.
Tindakan itu menyebabkan beliau dilayangkan kad kuning pada minit ke-45.
Aksi babak pertama tamat dengan kelebihan memihak kepada Korea Selatan hasil jaringan Hwang In-beom.
Korea Selatan menjaringkan satu lagi gol pada babak kedua menerusi rembatan deras Lee Kang-in sungguhpun lawan telah meledak satu gol menerusi Abdulla Al-Hashshah.