Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid percaya dengan kemampuan rakan sepasukan menjelang aksi terakhir berdepan Korea Selatan dalam saingan peringkat kumpulan di pentas AFC Piala Asia 2023.
Pemain berusia 26 tahun ini sedar dan akui dengan kehebatan skuad kendalian Jurgan Klinssman namun yakin kem Harimau Malaya tidak akan memberi laluan yang mudah buat Korea Selatan.
Bagi Safawi, Korea Selatan sememangnya memiliki ramai pemain berstatus bintang ternama dunia yang mampu memberi ancaman kepada pasukan seperti Son Heung Min.
“Semua orang tahu Son adalah pemain terbaik. Saya sebenarnya suka bercakap dengan rakan sepasukan sebab kalau satu lawan satu mungkin dia boleh, tapi dua lawan satu, tiga lawan satu mungkin boleh dikekang.”
“Dia pun manusia biasa, saya rasa kelebihan kepada kita sebab kita bertahan dan dia menyerang. Satu atau dua orang, saya rasa kita boleh seimbangkan lagi. Saya percaya dengan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan,” ujar Safawi Rasid ketika ditemu bual Astro Arena.
Melihat kepada persiapan skuad kendalian Kim Pan-gon, Safawi dilihat antara pemain yang akan turun beraksi memperkuat pasukan.
Pada kejohanan Sukan Asia edisi 2018, Safawi menjadi watak penting Malaysia apabila beliau cemerlang meledak dua gol ketika membantu skuad B23 tahun negara menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan. Korea Selatan ketika itu turut dibarisi beberapa nama besar yang kini berada dalam skuad utama di pentas Piala Asia 2023.
Malaysia telah dijadualkan berdepan Korea Selatan bagi saingan Kumpulan E pada Khamis, 25 Januari 2024 di Stadium Al Janoub, Qatar.