Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak mahu menunding jari kepada para pemain Malaysia sebaliknya mengakui beliau bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia kepada Bahrain.
“Ini salah saya, selaku jurulatih saya bertanggungjawab. Pemain Malaysia tidak bersalah. Ini kesalahan jurulatih.” ujar beliau selepas tamat perlawanan.
Harapan skuad kendalian Kim Pan-gon untuk meraih mata pertama dalam kejohanan Piala Asia 2023 lebur apabila Ali Madan menjaringkan gol saat akhir untuk menewaskan Malaysia.
Harimau Malaya kini tersingkir dari saingan Piala Asia walaupun masih berbaki satu lagi perlawanan menentang Korea Selatan setelah mengutip dua kekalahan.
Bahrain pula mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat kalah mati menerusi kedudukan tiga terbaik apabila meraih 3 mata berharga dalam perlawanan ini.
Harimau Malaya tampil memberikan segalanya untuk perlawanan ini namun beberapa siri serangan Malaysia gagal menembusi gawang gol Bahrain.
Kim Pan-gon dan skuad kebangsaan Malaysia sekali lagi bakal diuji untuk perlawanan ketiga menentang salah satu gergasi Asia, Korea Selatan yang kini mengumpul 4 mata dalam kumpulan E.