Advertisements
AFC Asian Cup: Iran Tumbangkan UAE
Asia
MakanBola
AFC Asian Cup

Iran pamer aksi cemerlang apabila menewaskan cabaran UAE untuk menamatkan saingan kumpulan C dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut.

Pasukan kendalian Amir Ghalenoei menampilkan kualiti serangan yang berbahaya setelah kerap kali mengancam kubu pertahanan UAE pada awal babak permainan sekali gus menyukarkan usaha UAE membina serangan.

Mehdi Taremi membuka tirai jaringan buat Iran apabila membolosi gawang gol UAE pada minit ke-25 perlawanan hasil lorongan pantas daripada Sardar Azmoun.

Ali Gholizadeh hampir menambah gol kedua Iran setelah menanduk masuk bola hantaran Ehsan Haji Safi pad minit ke-33 namun VAR membatalkan gol tersebut ekoran kedudukan ofsaid Ali Gholizadeh.

UAE bergelut untuk menembusi blok pertahanan Iran apabila hanya mampu melancarkan dua percubaan tanpa sebarang percubaan tepat untuk aksi separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Iran hampir menggandakan jaringan menerusi serangan awal namun percubaan jarak jauh pemain Iran tersasar.

Anak buah Paulo Bento kemudian diberikan sepakan penalti setelah pertahanan Iran, Hossein Kanaani melakukan kekasaran didalam kotak penalti.

Penyerang UAE, Yahya Alghassani bagaimanapun terlepas peluang menyamakan kedudukan setelah rembatan beliau berjaya ditepis penjaga gol Alireza Beiranvand.

Duka UAE bertambah apabila Mehdi Taremi sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran Sardar Azmoun pada minit ke-65 permainan. Giliran Mohammad Mohebi pula membolosi pintu gol UAE namun gol tersebut dibatalkan VAR pada minit ke-81.

Gol yang ditunggu-tunggu penyokong UAE akhirnya tiba pada masa tambahan apabila Yahya Alghassani menebus kesilapan sepakan penalti beliau dengan membolosi gawang gol Iran namun gol lewat permainan tersebut gagal menyekat kemenangan Iran.

Tamat perlawanan, Iran menewaskan UAE dengan jaringan 2-1 dan Iran berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan C ditangga teratas manakala UAE berada ditangga kedua dengan jumlah 4 mata.