AFC Asian Cup: Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon yakin pasukannya bakal tampil dengan mentaliti berbeza namun kekal dengan percaturan sama berdepan Bahrain bagi aksi kedua peringkat kumpulan.
Pengendali berusia 54 tahun itu dalam sesi sidang media berkata bahawa pasukan sedang melakukan persiapan terbaik selepas menerima tamparan hebat selepas tewas 0-4 kepada Jordan.
Beliau telah pun memohon maaf selepas perancangannya tidak menjadi kenyataan untuk mengejutkan Jordan.
“Selepas perlawanan pertama, kami menilai perlawanan itu, dan saya kongsikan kepada pemain. Kami luangkan masa untuk pulihkan mental dan fizikal.”
“Kami amat bersedia untuk berdepan Bahrain. Seperti biasa apabila kalau aksi pertama, kalah dengan jaringan agak besar, pemain juga agak kecewa sama seperti saya. Kami tak jangka menerima keputusan itu. Itulah kitaran bola sepak, tidak akan menang semua perlawanan.”
“Kami Malaysia, mentaliti pemain amat baik. Kami datang sini bukan untuk seri atau kalah kerana esok merupakan perlawanan penting buat kami,” jelasnya kepada Astro Arena.
“Sungguhpun ada jurang antara dua pasukan, kami sentiasa datang untuk mencari kemenangan.”
Beliau juga yakin pendekatan yang digunakan selama dua tahun telah membuahkan hasil dan mahu meneruskan rentak yang sama berdepan Bahrain.
“Kita telah menggunakan cara ini selama dua tahun, kami menang dan seri berdepan pasukan seperti India, China, Syria, Kyrgyzstan dan lain-lain. Ini cara Malaysia, dan kita akan kekal dengan cara ini.”
Skuad kebangsaan kini dalam sesi persiapan akhir sebelum berdepan Bahrain yang juga tewas 3-1 kepada jaguh Asia, Korea Selatan pada aksi pembukaan.
Pertemuan Malaysia dan Bahrain dijadualkan berlangsung pada 20 Januari 2024 jam 10:30 malam.
Kemenangan ke atas skuad kendalian Juan Antonio Pizzi membolehkan Harimau Malaya memungut tambahan +22.5 mata untuk melonjak 5 tangga.