Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan prestasi longlai skuad kebangsaan di Piala Asia 2023.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya apabila Harimau Malaya tumbang di tangan ke-87 dunia, Jordan dengan keputusan 4-0.
Sungguhpun meletakkan sasaran yang cukup besar untuk mengejutkan jaguh Timur Tengah itu, tiga gol awal yang dimiliki oleh lawan dalam tempoh 25 minit itu menyebabkan Malaysia tidak berupaya bangkit pada babak kedua.
“Memang kecewa. Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tidak dapat menghasilkan keputusan yang baik. Kami perlu belajar dari kesilapan dan persiapkan diri untuk perlawanan seterusnya.”
“Mereka (Jordan) adalah pasukan yang lebih baik dari kami. Mereka layak untuk menang hari ini. Pada saya, pemain Malaysia memulakan perlawanan dengan berani. Akan tetapi, kami sedikit bernasib malang. Separuh masa kedua kami beraksi dengan baik dan mengawal perlawanan.”
Pan-gon bagaimanapun gembira melihat kebangkitan oleh para pemainnya terutamanya pada babak kedua untuk kembali memberi saingan kepada lawan.
“Pada separuh masa kedua itulah permainan kami yang sebenar. Kami perlu pulihkan mental dan psikologi juga,” ulas Kim Pan-gon selepas perlawanan.
Fokus beliau ketika ini adalah untuk membentuk kebangkitan dalam kalangan pemain Malaysia menjelang pertemuan menentang Bahrain pada 20 Januari 2024.