Advertisement
AFC Asian Cup: Kim Pan-gon Mahu Pemain Malaysia Pulihkan Psikologi
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Kim Pan-gon akur dengan kekalahan besar 0-4 kepada Jordan pada aksi sulung Harimau Malaya di Piala Asia 2023 awal pagi tadi.

Mengakui Jordan sememangnya layak untuk menang, Pan-gon juga berharap para pemainnya dapat memulihkan psikologi sebelum berdepan Bahrain pada aksi kedua.

“Memang kecewa. Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tidak dapat menghasilkan keputusan yang baik. Kami perlu belajar dari kesilapan dan persiapkan diri untuk perlawanan seterusnya.

“Mereka (Jordan) adalah pasukan yang lebih baik dari kami. Mereka layak untuk menang hari ini. Pada saya, pemain Malaysia memulakan perlawanan dengan berani. Tapi kami sedikit bernasib malang. Separuh masa kedua kami beraksi dengan baik dan mengawal perlawanan.

“Pada separuh masa kedua itulah permainan kami yang sebenar. Kami perlu pulihkan mental dan psikologi juga,” ulas Kim Pan-gon dalam satu temuramah selepas tamat perlawanan.

Dengan kekalahan kepada Jordan, Malaysia kini perlu memenangi perlawanan seterusnya bertemu Bahrain dan Korea Selatan untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi perlawanan menentang Jordan sejak aksi pertama pada tahun 1988. Kekalahan ini juga menyamai keputusan perlawanan pada tahun 2019 yang mana menyaksikan Malaysia tewas juga dengan keputusan 4-0.