Advertisement
AFC Asian Cup: “Kita Perlu Realistik, Tekanan Kini Pada Jordan” – Matthew Davies
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Kapten pasukan Harimau Malaya, Matthew Davies yakin pasukan negara perlu turun dengan realistik menjelang pertemuan dengan Jordan bagi aksi pertama Kumpulan E.

Bercakap pada sesi pra perlawanan hari ini, pemain berusia 28 tahun itu yakin pasukan sudah berada pada tahap yang terbaik untuk bertemu pasukan ke-87 dunia itu.

Beliau juga memuji kerja keras yang ditunjukkan oleh barisan kejurulatihan negara untuk mempersiapkan pasukan bagi menempuhi cabaran di peringkat tertinggi Asia.

Menurutnya, sungguhpun harapan cukup besar diletakkan di bahu pemain pada kempen kali ini, Matt berharap agar para penyokong bersikap realistik.

“Saya tahu harapan yang besar diletakkan kepada pemain di Piala Asia. Namun saya mahu menggunakan kesempatan ini untuk memberitahu bahawa kita harus menyedari dan bersikap realistik kerana kita bertemu dengan pasukan yang hebat.”

“Para pemain akan memberikan yang terbaik, berjuang dengan bersungguh-sungguh kerana kita berada pada tahap yang terbaik di sini.”

Pertahanan kental JDT itu bagaimanapun yakin tekanan kini memihak kepada Jordan kerana mereka berada pada kedudukan yang lebih baik.

“Kami (Malaysia) tidak turun dengan tekanan, kerana tekanan kepada Jordan. Mereka berada pada kedudukan yang lebih baik jadi pasti mereka mahu keputusan yang lebih baik,” jelasnya kepada Astro Arena.

Malaysia akan turun berdepan Jordan pada 16 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub, Qatar jam 1:30 pagi.