Biarpun memiliki skuad termuda dalam kempen Piala Asia kali ini, namun ianya bukanlah alasan untuk Indonesia tidak mempamerkan aksi berkualiti.
Dalam aksi sulung Indonesia di Piala Asia semalam, menyaksikan Indonesia terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 kepada Iraq.
Dengan kekalahan itu, Indonesia wajib menang ke atas Vietnam pada perlawanan kedua mereka untuk mencerahkan peluang ke peringkat 16 terakhir.
Seorang Pengarah Kreatif Sukan, Ryan Walters telah membuat hantaran di laman X baru-baru ini dengan menyifatkan masa depan bola sepak Indonesia sangat cerah.
Ryan Walters yang sangat sinonim dengan bola sepak di benua Asia melihat Indonesia berjaya memberi saingan yang baik dalam perlawanan bertemu Iraq sebelum tewas.
“Itulah (Indonesia), pasukan termuda pada kejohanan ini (Piala Asia 2023) yang baru sahaja bersaing hebat dengan pasukan Iraq.
“Masa depan (dan masa kini) adalah cerah untuk Indonesia!,” coret Ryan Walters di laman X milik beliau.
Dalam aksi kedua-dua pasukan semalam, Iraq terlebih dahulu di hadapan melalui penyudah penyerang muda mereka, Mohanad Ali pada minit ke-17 sebelum ianya disamakan pemain muda Indonesia, Marselino Ferdinan.
Osama Rashid mengubah kedudukan menjadi 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama. Di separuh masa kedua, pemain gantian Iraq, Aymen Hussein melengkapkan kemenangan berharga buat Iraq dengan gol ketiga.
Aksi seterusnya bakal menyaksikan Indonesia dijadualkan berdepan Vietnam pada Jumaat, 19 Januari 2024 sementara Iraq pula bakal berdepan ujian getir menentang Jepun untuk aksi kedua peringkat Kumpulan B.