Advertisement
AFC Asian Cup: Pemain Bahrain Waspada Cabaran Harimau Malaya
Asia
MakanBola
Bahrain NT

Pemain tengah Bahrain, Ali Madan mahu rakan-rakan sepasukannya tidak memandang rendah cabaran Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan E yang berlangsung esok.

Ini kerana meskipun mereka tewas 4-0 kepada Jordan pada awal pagi 16 Januari lalu, Harimau Malaya sudah membuktikan mereka bukan lawan calang-calang.

Malaysia sebelum ini sudah mengatasi beberapa pasukan yang memiliki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang lebih tinggi di pentas antarabangsa seperti India, Turkmenistan dan Kyrgyzstan.

Malah, skuad negara yang dibimbing Kim Pan-gon memberi tentangan sengit kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 sebelum tewas 2-1.

Justeru, Madan mahu rakan-rakan sepasukannya agar melupakan perlawanan menentang Korea Selatan dan fokus kepada Malaysia sebagai lawan mereka yang seterusnya.

“Selepas menganalisis pasukan Malaysia, pasukan yang kita telah lawan dan menang di peringkat kelayakan (Piala Asia), mereka satu pasukan yang bagus dan memiliki ramai pemain yang pantas.

“Perlawanan menentang Jordan tidak sepatutnya dijadikan kayu pengukur (kemampuan Harimau Malaya),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Kedua-dua pasukan memerlukan tiga mata selepas tewas dalam aksi pertama. Seperti Malaysia, Bahrain tewas 3-1 kepada Korea Selatan dalam aksi pertama Kumpulan E.

Malaysia bakal turun menentang Bahrain pada 19 Januari di Stadium Jassim bin Hamad pada jam 10.30 malam.