Advertisements
AFC Asian Cup: “Penyokong Iraq Gembira dan Berhak Menerima Kemenangan ini”
Asia
MakanBola
Iraq NT

Pengendali skuad kebangsaan Iraq, Jesus Casas mendedikasikan kemenangan 2-1 mereka ke atas Jepun kepada penyokong negara itu.

Sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Education City, penyokong Singa Mesopotamia memberi sokongan padu kepada barisan pemain untuk memburu kemenangan hari ini.

Sorakan mereka memberi suntikan semangat kepada Iraq untuk mendahului pada minit kelima menerusi Aymen Hussein. Hussein kemudiannya meledakkan jaringan kemenangan pasukan itu pada minit akhir babak pertama.

Meskipun Jepun merapatkan jurang menerusi tandukan kapten, Wataru Endo pada minit ke-93, itu sudah terlambat untuk menghalang Singa Mesopotamia daripada meraikan kemenangan.

Kemenangan itu turut membawa Iraq ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Asia 2023. Walaupun gembira dengan kejayaan mengejut hari ini, Casas pantas mengalihkan fokus kepada aksi terakhir Kumpulan D menentang Vietnam.

Justeru, bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol itu mahu para penyokong Iraq agar dapat memberi dukungan sama untuk perlawanan ketiga yang berlangsung pada 24 Januari ini.

“Ya, sudah tentu kita mendapat kelebihan (dalam Kumpulan D). Dalam beberapa hari saja lagi, kita perlu mengharungi satu lagi perlawanan (dan) kita perlu fikir tentang perlawanan seterusnya.

“Dan sudah tentu penyokong Iraq gembira dan berhak menerima kemenangan ini. Kita berharap beberapa pemain yang cedera hari ini dapat kembali pulih.

“Ya, kita bukan pasukan pilihan (Piala Asia 2023) tetapi kita mahu memenangi kejohanan ini,” katanya bila ditemubual Alkass TV Sports selepas tamat perlawanan hari ini.

Iraq ketika ini mengetuai Kumpulan D dengan enam mata selepas dua perlawanan kumpulan.