Penyokong Tajikistan meluahkan rasa tidak puas hati selepas melihat pasukan kesayangan mereka tewas dengan cara yang kurang adil kepada tuan rumah Piala AFC 2023, Qatar.
Dalam aksi kedua kedua-dua pasukan yang berada di Kumpulan A itu menyaksikan Tajikistan tewas 0-1 kepada Qatar. Namun disebalik kekalahan itu, terdapat insiden yang seharusnya tidak berlaku dalam kejohanan berprestij seperti Piala Asia.
Pada minit ke-17 Akram Afif meledak jaringan tunggal perlawanan yang agak kontroversi untuk mengesahkan kemaraan tuan rumah mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia.
Jaringan tersebut dianggap sebagai satu kontroversi apabila pengadil tidak memberhentikan perlawanan ketika pengadil dilihat menghalang laluan pemain Tajikistan yang sedang mengawal bola di bahagian tengah padang.
Akibat halangan daripada pengadil, pemain Tajikistan kehilangan bola dan satu serangan balas terus dilancarkan oleh Almoez Ali sebelum melepaskan hantaran lolos kepada Akram Afif yang mudah menyempurnakan peluang tersebut.
“Pengadil dan AFC korupsi. Seluruh dunia melihat bahawa hari ini Tajikistan lebih baik di atas padang daripada Qatar. Dan kami orang Tajikistan hari ini sekali lagi membuktikan bahawa bola sepak dimainkan oleh orang dan bukan wang.
“Dengan wang anda boleh membeli pengadil, tetapi bukan pendapat umum. Kami akan tetap mencapai matlamat kami dan in sha Allah kami akan layak ke pusingan seterusnya,” luah penyokong Tajikistan di ruangan komen laman AFC.
Melalui tinjauan di ruangan komen juga menyaksikan ramai penyokong yang tidak bersetuju dengan keputusan pengadil yang seolah-oleh memihak kepada tuan rumah.
Jurulatih Tajikistan, Petar Segrt sebelum ini tidak mempersoalkan keputusan pengadil. Jurulatih kelahiran Croatia itu hanya berharap pengadil tersebut selamat dalam penerbangan pulang.