Advertisements
AFC Asian Cup: “Semua Pasukan Asia Bermotivasi Untuk Tewaskan Jepun” – Hajime Moriyasu
Asia
MakanBola
FA Japan

Jurulatih skuad kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu percaya status pasukan itu sebagai pasukan terbaik Asia memberi motivasi kepada pasukan lain dalam Piala Asia 2023.

Mengikut kedudukan terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) seperti yang dikongsikan Footy Rankings, Jepun ketika ini menduduki ranking ke-18 susulan kekalahan 2-1 di tangan Iraq semalam.

Walaupun mereka hanya turun satu anak tangga, Samurai Biru masih lagi pasukan nombor satu Asia.

Ini ditambah ramai pemain negara itu beraksi di Eropah seperti Takefusa Kubo (Real Sociedad), Wataru Endo (Liverpool) dan Takehiro Tomiyasu (Arsenal).

Bagi pasukan-pasukan Asia terutama yang berada dalam Kumpulan D, kejayaan mengalahkan Jepun merupakan satu kebanggaan buat pasukan yang melakukannya.

Hal ini bakal mendorong Moriyasu untuk membentuk barisan yang lebih mantap terutama menjelang aksi ketiga Kumpulan D menentang Indonesia.

“Saya fikir pasukan Asia atau lebih tepat pasukan-pasukan Asia amat bermotivasi menentang kami (Jepun untuk meraih kemenangan). Saya belajar apa yang saya perlu perbaiki dalam Piala Asia kali ini,” katanya selepas perlawanan seperti dilaporkan Sponichi Annex.

Selepas tewas kepada Iraq semalam, Jepun kini berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata. Samurai Biru perlu menang ke atas Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan D jika mahu layak sebagai naib juara kumpulan.

Jepun bakal turun menentang Indonesia pada 24 Januari di Stadium Al Thumama. Satu lagi aksi kumpulan menemukan Iraq dan Vietnam pada hari sama di Stadium Jassim bin Hamad.