Advertisements
AFC Asian Cup: Son Heung-min Puji Semangat Juang Jordan
Asia
MakanBola
FA Korea

Kapten Korea Selatan, Son Heung-min kagum dengan semangat juang yang ditampilkan wakil Asia Barat, Jordan hari ini.

Pasukan yang diberi jolokan The Chivalrous Ones itu hampir mencipta kejutan ke atas pasukan ketiga terbaik Asia itu dalam aksi kedua Kumpulan E.

Selepas ketinggalan menerusi gol Heung-min, Jordan kemudiannya mendahului menerusi gol sendiri Park Yong-woo dan Yazan Al-Naimat.

Gol sendiri bekas bek tengah Selangor FC, Yazan Al-Arab pada minit ke-91 memastikan The Chivalrous Ones diikat 2-2 dengan Pahlawan Taeguk pada akhir perlawanan.

Dalam temubual bersama Alkass TV Sports selepas perlawanan, penyerang Tottenham Hotspur itu memuji semangat juang yang tinggi dimiliki Jordan.

Ini kerana The Chivalrous Ones terus memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan meskipun ketinggalan pada peringkat awal.

Ini ditambah dengan kegagalan Pahlawan Taeguk menyempurnakan beberapa peluang terhidang dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Thumama hari ini.

Justeru, Heung-min menyifatkan keputusan seri 2-2 sebagai satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan.

“Pasukan Jordan tidak mahu kalah dalam perlawanan ini dan berjuang habis-habisan. Kita juga melakukan yang terbaik tetapi kita tiada sentuhan penyudah.

“Tetapi akhirnya keupayaan pasukan kita (membantu mendapatkan gol penyamaan). Jordan mendapat mata, sementara kita juga mendapat mata.

“Kita perlu menambahbaik prestasi kita dalam perlawanan seterusnya kerana kita hanya ada baki satu perlawanan. Dan kita mahu (mencapai sasaran) layak ke final kejohanan,” katanya hari ini.

Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi empat mata selepas dua perlawanan.

Selepas ini, Korea Selatan bakal berdepan Malaysia untuk aksi terakhir Kumpulan E. Kedua-dua pasukan bakal bertemu pada 25 Januari ini di Stadium Al Janoub pada jam 7.30 malam.