Menjelang aksi kedua Kumpulan A Piala Asia 2023 membabitkan Qatar dan Tajikistan malam ini, status juara yang dimiliki tuan rumah tidak menggentarkan anak buah Petar Segrt.
Ini kerana Tajikistan pernah mengalahkan Qatar pada tahun 2012 dengan meraih keputusan 2-1 dalam pertemuan terakhir mereka di pentas antarabangsa.
Menariknya mengikut rekod Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), perlawanan malam ini merupakan perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia.
Ini menjadikan pertarungan malam ini istimewa buat kedua-dua pasukan. Ini kerana selain menentukan peluang kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik, ini peluang buat Qatar yang dibimbing Tintin Marquez Lopez untuk membalas dendam.
Tajikistan perlu berharap jentera serangan mereka malam ini lebih mantap. Ini kerana meskipun mereka merekodkan 20 percubaan ke arah gol China pada 13 Januari lalu, tiada gol yang direkodkan.
Ini mengakibatkan The Crowns terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan dari Asia Timur itu.
Walaupun Qatar perlu berwaspada dengan cabaran Tajikistan, mereka memiliki rekod kemenangan 100% untuk lapan perlawanan berturut-turut Piala Asia.
Ini termasuk kejayaan mengalahkan negara serantau, Lubnan dalam aksi pembukaan Piala Asia 2023 pada 12 Januari lalu. Satu-satunya negara yang memiliki rekod sama yang lebih baik daripada Qatar ialah Iran dengan 13 kemenangan.
Dua pemain bakal menjadi tumpuan di Stadium Al Bayt, Al Khor malam ini ialah Alisher Shukurov (Tajikistan) dan Almoez Ali (Qatar).
Walaupun baru berusia 21 tahun, Shukurov kerap membantu bahagian tengah dalam mendapatkan bola. Beliau berjaya meraih penguasaan bola sebanyak 11 kali, dua kali melebihi pemain Lubnan, Alexander Melki.
Sementara Ali pula ingin menambah koleksi gol dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Asia malam ini. Ketika ini, beliau berkongsi di tempat kedua bersama penyerang Korea Selatan, Lee Dong-gook dengan 10 gol.
Carta penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Asia masih diterajui legenda Iran, Ali Daei dengan 14 gol.