Advertisement
AFC Asian Cup: Thailand Banggakan Asean, Malukan Kyrgyzstan
Asia
MakanBola
Kyrgyz Kurama

AFC Asian Cup: Aksi pertama Kumpulan F antara pasukan Thailand dan Kyrgyzstan berkesudahan dengan kemenangan memihak kepada Thailand.

Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik dalam misi meraih 3 mata penting bagi aksi pembukaan di Qatar.

Skuad Gajah Perang bermula garang apabila satu serangan balas pantas berjaya direncanakan namun tolakan pantas Supachok Sarachat dibatalkan kerana ofsaid.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Abdullah bin Khalifa itu juga digegarkan dengan percubaan penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta.

Gol yang ditunggu-tunggu oleh anak didik Matasada Ishii akhirnya tiba apabila rembatan kencang pemain sayap sensasi, Bordin Phala gagal ditampan kemas oleh Erzhan Tokofaev sebelum ditolak masuk oleh Supachai Chaided pada minit ke-26.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.

Bersambung babak kedua, anak didik Stefan Tarkovic cuba bangkit berdepan pasukan ke-113 dunia itu sungguhpun masih mencari rentak.

Tidak sampai 3 minit, Supachai sekali lagi membuat lawan berduka apabila bijak mencari ruang dalam kotak penalti untuk gol kedua pasukan.

Usaha Kyrgyzstan bangkit menerusi 4 pertukaran pada babak kedua masih tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Kyrgyzstan memperoleh peluang terbaik menerusi Joel Kojo namun peluang dalam kotak penalti disia-siakan.

Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal memihak kepada Thailand.

Thailand akan berdepan Oman sementara Kyrgyzstan akan mementang Arab Saudi bagi aksi berikutnya.