Kemenangan berharga ke atas Kyrgyzstan pada aksi Kumpulan F Piala Asia 2023 semalam menyaksikan Thailand kini gah mendaki anak tangga ranking FIFA.
Melalui satu hantaran yang disiarakan oleh Footy Ranking di laman X, Thailand memperolehi tambahan mata sebanyak 18.99 mata. Dengan tambahan mata itu, ranking Thailand melonjak ke kedudukan 105 dunia berbanding kedudukan ke-113 sebelum perlawanan.
Dengan pendakian anak tangga ranking FIFA itu, Thailand telah berjaya memintas beberapa negara lain seperti India dan Lubnan yang tewas pada aksi pertama masing-masing.
Pada aksi semalam, Thailand yang kini dibawah kendalian Matasada Ishii mempamerkan aksi berkualiti untuk menewaskan Kyrgyzstan dengan keputusan 2-0.
Dua jaringan Thailand telah dihasilkan penyerang berbisa Buriram United, Supachai Jaided yang meledak pada minit ke-26 dan juga minit ke-48.
Peluang Thailand untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia tampak cerah. Mereka kini perlu menewaskan Oman pada aksi kedua untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Manakala pada aksi terakhir, Thailand bakal berdepan gergasi bola sepak Asia, Arab Saudi pada 25 Januari untuk melengkapkan jadual peringkat kumpulan Piala Asia.