Kemenangan yang diperoleh pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas peledak gol kemenangan perlawanan kini mengalami kecederaan.
Skuad Gajah Perang kembali mengamuk sungguhpun kempen ke Piala Asia bermula hambar selepas beberapa watak penting pasukan terpaksa disisihkan.
Namun begitu, sentuhan ketua jurulatih Changsuek, Matasada Ishii kembali menjadi bualan selepas berjaya membantu Thailand untuk menumbangkan pasukan ke-101 dunia, Kyrgyzstan dengan keputusan 2-0.
Dua jaringan daripada peledak berbisa Buriram United, Supachai Chaided sudah cukup untuk membantu Thailand menjadi wakil tunggal Asean yang meraih 3 mata bagi aksi pertama peringkat kumpulan.
Pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun difahamkan mengalami kecederaan selepas menjaringkan gol dan terpaksa dikeluarkan.
Beliau juga memainkan peranan penting termasuklah beberapa siri gerakan yang hampir memecahkan blok pertahanan lawan.
Gandingan bersama Suphanat Mueanta, Supachok dan juga Bordin Phala berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan untuk memastikan 3 mata milik pasukan.
Supachai dikeluarkan pada minit ke-78 dan digantikan oleh Teerasak Poeiphimai namun tiada sebarang tambahan jaringan dihasilkan.
Pada perlawanan tersebut, Supachai dinilai setinggi 8.3 oleh Sofascore selepas meledak dua gol daripada dua percubaan tepat.
Selain itu, beliau juga memenangi 6 pertarungan bola di atas padang dan melakukan 34 sentuhan aepanjang beraksi.
Thailand akan berdepan Oman bagi aksi berikutnya sementara Kyrgyzstan melayan kunjungan Arab Saudi pada 22 Januari 2024.