Uzbekistan berjaya menundukkan cabaran India untuk meraih tiga mata pertama dalam kumpulan B Piala Asia 2023.
Uzbekistan yang bergelar Serigala Putih pula menagih ketajaman Igor Sergeev selaku penyerang utama manakala Jaloliddin Masharipov memakai lilitan kapten dalam perlawanan ini.
India yang turut dikenali sebagai Harimau Biru masih mengekalkan khidmat penyerang veteran, Sunil Chhetri dalam kesebelasan utama pasukan.
Anak buah kendalian Srecko Katanec tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Abbosbek Fayzullayez mudah menanduk masuk bola pada minit ke-5.
Uzbekistan kemudian menambah gol kedua menerusi Igor Sergeev yang merembat masuk bola yang melantun terkena tiang pada minit ke-18.
Serangan pantas Uzbekistan pada minit ke-34 hampir sahaja menghadiahkan gol ketiga pasukan namun percubaan Abbosbek dihadang penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu.
Pasukan Uzbekistan tampil dominan melancarkan serangan malah kerap kali memenangi perebutan bola daripada pemain India yang tewas dengan kekuatan fizikal pihak lawan. Memasuki 10 minit terakhir barulah India mempunyai peluang melakukan serangan namun tiada gol yang terhasil.
Dipenghujung babak pertama, Sherzod Nasrullaev menambah duka India apabila mudah menjaringkan gol ketiga buat Uzbekistan.
Bersambung babak kedua, Serigala Putih mengekalkan tempo permainan dari babak pertama sekali gus menyukarkan perancangan India untuk mencari gol pertama mereka.
India hampir meraih gol pertama menerusi tandukan Rahul Bheke pada minit ke-70 namun bola tersebut berjaya ditepis keluar penjaga gol Uzbekistan, Utkir Yusupov. Beberapa siri percubaan dilakukan kedua-dua pasukan namun tiada yang dapat menewaskan penjaga gol lawan.
Tamat perlawanan, Uzbekistan gah menewaskan India dengan jaringan 3-0 dan kini Uzbekistan meraih 4 mata untuk menduduki tangga kedua kumpulan B setelah mengharungi 2 perlawanan.
India pula merekodkan kekalahan kedua berturut-turut dan kini mereka berada ditangga terakhir kumpulan B sekali gus menyukarkan peluang untuk mara ke peringkat kalah mati.
Perlawanan berikutnya bakal mempertemukan Uzbekistan dan Australia manakala India akan berhadapan dengan Syria pada 23 Januari kelak.