Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menjatuhkan hukuman terhadap Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dan juga dua pemain.
Keputusan terkini daripada Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC pada 27 Jun 2024 menyaksikan tiga watak penting daripada skuad B-23 Indonesia menerima hukuman atas kegagalan mengawal tingkah laku.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu dihukum susulan memberikan komen pedas terhadap mutu pengadilan bagi aksi Indonesia menentang Qatar pada 15 April 2024.
Beliau diminta untuk membayar denda 7,500 USD (RM35,400) dengan AFC boleh meningkatkan hukuman sekiranya kejadian ini berulang.
Bukan itu sahaja, watak penting Timnas Indonesia B-23, Ivar Jenner turut menerima hukuman yang sama.
Tonggak warisan itu telah memuat naik hantaran di laman sosial berbentuk penghinaan terhadap perlawanan menentang Qatar.
“Beliau telah mempersoal keputusan perlawanan, perlawanan tersebut, Qatar, juga Persatuan Bola Sepak Qatar dan AFC.”
Seorang lagi pemain yang dikenakan denda oleh AFC ialah Justin Hubner yang juga melakukan kesalahan yang sama seperti Ivar Jenner.
Kedua-dua pemain ini juga dikenakan denda sebanyak 5,000 USD (RM23,600) dengan jumlah tersebut boleh meningkat sekiranya berulang pada masa akan datang.
Indonesia B-23 berjaya mara ke peringkat play-off Olimpik namun terkandas apabila tewas 0-1 di tangan Guinea.