Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung dakwaan bahawa Malaysia menggunakan pemain warisan secara tidak sah dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
AFC menegaskan bahawa mereka belum menerima sebarang aduan atau maklumat rasmi berkenaan isu tersebut. Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul, menegaskan bahawa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai sebarang pelanggaran peraturan melibatkan perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Malaysia mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam dalam perlawanan berkenaan, yang turut menyaksikan lima pemain warisan membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya.
“Sehingga kini, AFC belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkara ini. Isu kelayakan pemain berada di bawah bidang kuasa FIFA,” jelas Windsor seperti yang dipetik TheThao247.
Sebelum ini, sebuah media picisan dari Indonesia melaporkan bahawa Malaysia berisiko dikenakan tindakan tegas jika terbukti melanggar peraturan naturalisasi pemain. Antaranya termasuk denda sehingga AS$2 juta (RM9.4 juta), pengharaman untuk menaturalisasikan pemain pada masa hadapan, atau kemenangan ke atas Vietnam dibatalkan.
Namun begitu, tiada bukti kukuh atau dokumen rasmi dikemukakan setakat ini yang mengesahkan sebarang penyelewengan dalam proses kewarganegaraan pemain-pemain terbabit.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertindak pantas untuk menafikan semua tuduhan tersebut. Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mematuhi segala garis panduan dan peraturan antarabangsa yang ditetapkan oleh FIFA dan AFC.
“Setakat ini, kami belum menerima apa-apa dokumen daripada FIFA atau AFC berkenaan isu ini. Kami telah mematuhi segala peraturan. Kami menolak semua tuduhan itu,” tegas Noor Azman.
Lima pemain yang dikaitkan dalam isu ini ialah Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Rodrigo Hidalgo dan Jon Irazabal. Kesemua mereka membuat penampilan pertama dalam perlawanan menentang Vietnam dan memberikan impak besar kepada kemenangan skuad negara, sekali gus menarik perhatian media serantau.
Prestasi cemerlang mereka bukan sahaja membantu Malaysia menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam selama lebih sedekad, tetapi juga mencetuskan perdebatan hangat mengenai kelayakan pemain warisan dan naturalisasi di rantau Asia Tenggara.
Dengan penjelasan daripada AFC dan pendirian tegas FAM, isu ini dilihat lebih kepada perang persepsi dan propaganda media luar yang mungkin tidak senang melihat kebangkitan skuad Harimau Malaya. Fokus kini kembali kepada persiapan pasukan untuk menghadapi cabaran seterusnya di pentas antarabangsa.