Malaysia memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila membelasah Vietnam dalam aksi terbaru kelayakan Piala Asia 2027.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan agar dapat meraih kelebihan menerajui Kumpulan F selepas dua perlawanan.
Empat pemain baharu negara berada dalam kesebelasan utama iaitu Jon Irazabal, Jon Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces. Vietnam pula menurunkan tonggak berdarah Perancis-Vietnam, Jason Pendant Quang Vinh.
Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia memberi tekanan kepada barisan pertahanan pelawat menerusi Figueiredo, Holgado dan Arif Aiman Hanapi.
Kelincahan trio Harimau Malaya itu menyebabkan penjaga gol Pahlawan Bintang Emas, Filip Nguyen bekerja keras menafikan percubaan mereka.
Pemain baru Cerezo Osaka, Dion Cools hampir meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-35. Malangnya, percubaan beliau dinafikan tiang.
Vietnam kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal apabila Nguyen Thanh Chung terpaksa dikeluarkan pada minit ke-37 akibat kecederaan.
Seminit selepas itu, giliran Figueiredo pula menguji kecekapan Nguyen. Tandukan penyerang Istanbul Basaksehir itu pantas dinafikan penjaga gol Cong An Ha Noi FC (CAHN) itu.
Harimau Malaya terus berusaha memburu jaringan pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik membuat dua lagi pertukaran. Ini termasuk Pham Tuan Hai yang masuk sebagai pemain gantian.
Tatkala Vietnam cuba memperkemaskan rentak mereka, Figueiredo menceriakan Ekor Harimau Malaya di SNBJ dengan gol pertama pada minit ke-49.
Gol tersebut menyuntik semangat anak buah Peter Cklamovski untuk memburu gol kedua. Hasilnya, giliran Holgado pula menyumbat gol pertamanya pada minit ke-58.
Vietnam yang terdesak memasukkan pemain perancang mereka, Nguyen Quang Hai sebagai pemain gantian untuk merapatkan jurang gol.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin Ong menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-67.
Bintang Velez Sarsfield, Imanol Machuca diberi peluang membuat penampilan pertama buat Harimau Malaya pada minit ke-72.
Penyerang gantian Vietnam, Nguyen Tien Linh hampir menyumbat gol buat Vietnam pada minit ke-78. Malangnya, percubaan beliau mudah diselamatkan Syihan Hazmi Mohamed.
Cools memastikan kedudukan Harimau Malaya sukar dicabar menerusi tandukan padu pada minit ke-87. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata. Lebih menarik, skuad negara juga belum dibolosi dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 setakat ini.
Selepas ini, Vietnam akan menentang Nepal pada 9 Oktober. Harimau Malaya pula akan menentang Laos pada hari yang sama.