5 Pemain Tumpuan Aksi Malaysia vs Vietnam
MakanBola
MNT/VFF

Pertemuan menarik Malaysia vs Vietnam bakal dihangatkan dengan kehadiran 5 pemain tumpuan dari kedua-dua negara.

Malaysia dan Vietnam turun beraksi di Bukit Jalil dengan misi mencatat kemenangan kedua di peringkat kumpulan F dalam kempen Kelayakan Piala Asia selepas berhasil meraih 3 mata di aksi pertama lalu.

Berdasarkan ranking dan status terkini, skuad Vietnam lebih dianggap sebagai pasukan pilihan dengan kedududukan ke-109 dunia selain muncul juara ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024.

Manakala, Harimau Malaya yang kini sudah berwajah baharu tidak boleh dipandang sebelah mata dengan barisan pemain warisan dan lokal bergabung membawa cabaran Malaysia di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Di sebalik pertemuan epik ini, seramai 5 orang pemain telah dipantau bakal memberikan impak yang besar buat Malaysia dan juga Vietnam nanti.

1- Arif Aiman

Kelincahan dan sentuhan pemusnah yang dimiliki Arif Aiman sudah pasti ditagih oleh Harimau Malaya pada pertemuan ini meski berdepan persaingan sengit di dalam pasukan negara ketika ini.

Pemain berusia 23 tahun ini dilihat tidak mempunyai masalah untuk beradaptasi dengan pendekatan Peter Cklamovski dan ini dibuktikan hasil satu bantuan gol ketika menentang Nepal tempoh hari.

2- Facundo Garces

Salah seorang pemain warisan baharu, Facundo Garces yang ketika ini beraksi di Liga Sepanyol dijangka akan memperkuat barisan pertahanan negara dalam usaha menyekat serangan Vietnam.

Statistik terdahulu membuktikan Garces kini berada di tahap terbaik sebaik tiba di Malaysia dari kelabnya Alaves dan akan menjadi tumpuan untuk bergandingan bersama bek Harimau Malaya yang lain.

3- Rodrigo Hogaldo

Nama Hogaldo menjadi sebutan ramai belakangan ini dengan para penyokong meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada penyerang America de Cali ini supaya membawa impak yang positif buat jentera serangan.

Pemain kelahiran Argentina ini sudah merekodkan 8 jaringan beserta 2 bantuan gol dalam 22 penampilan untuk kelab dari Colombia itu pada musim 2025 dan membuktikan ketajaman beliau.

4- Nguyen Quang Hai

Di kem Vietnam, sandaran utama diletakkan kepada tonggak lincah, Nguyen Quang Hai yang berpotensi bagi memberikan ancaman kepada gawang Harimau Malaya dengan larian dan hantaran tepat.

Bekas pemain Pau FC di Liga Perancis ini miliki rekod hebat bersama pasukan kebangsaan Vietnam dengan 14 jaringan yang dihasilkan dalam 75 kaps buat Pahlawan Bintang Emas ini sejak 2017.

5- Jason Pendant

Selain Malaysia, pasukan Vietnam juga diperkuat kehadiran tonggak warisan baharu berdarah Perancis, Jason Pendant yang beraksi di posisi bek kiri dan dijangka bakal mengawal ketat pergerakan Arif Aiman.

Ketika ini, Pendant juga berada pada prestasi terbaik apabila menjadi pemain utama di kelabnya, CAHN yang muncul naib juara Shopee Cup baru-baru ini dan sudah pun mencetak 2 gol musim ini.

Aksi Malaysia vs Vietnam bakal berlangsung pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula perlawanan akan bermula tepat jam 9 malam.