Jurulatih Ratchaburi FC, Worrawoot Srimaka mensasarkan tiga mata penuh menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bekas penyerang Kelantan itu meletakkan sasaran tersebut kerana beliau percaya pasukan sehebat JDT memiliki kelemahan. Worrawoot percaya apabila Ratchaburi menemui kelemahan tersebut, ini dilihat kunci buat pasukan itu meraih kemenangan.
Selain itu, faktor beraksi di gelanggang sendiri turut memberi motivasi tambahan kepada The Dragons untuk memburu kemenangan pertama dalam saingan ACLE.
“Saya fikir mereka satu pasukan yang bagus. Saya fikir mereka cukup bagus untuk beraksi dalam saingan di pentas Asia.
“Tetapi setiap pasukan mesti mempunyai titik kelemahan termasuk pasukan kita juga. Jadi, esok kita bermain untuk mendapatkan tiga mata menentang JDT. Ia bukan satu perkara sukar dan ia juga bukan satu perkara yang mudah.
“Itu bergantung kepada hari esok tentang sama ada kita akan mengambil kesempatan daripada kesilapan mereka untuk membantu kita mendapatkan mata atau tidak,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
Perlawanan menentang JDT disifatkan misi hidup mati Ratchaburi di pentas ACLE. Jika mereka tewas lagi, peluang Ratchaburi untuk layak ke pusingan 16 kejohanan itu semakin tipis.
Anak buah Worrawoot hanya mengutip satu mata selepas mengharungi empat perlawanan ACLE. Mereka hanya seri sekali dan tewas tiga kali setakat ini.
Harimau Selatan akan berentap dengan The Dragons di Stadium Ratchaburi pada 24 November ini.


