Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menjangkakan Ratchaburi FC akan memberikan tentangan sengit apabila kedua-dua pasukan ini bertemu dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Menurut Xisco, pasukan tuan rumah itu mempunyai motivasi tinggi untuk memburu kemenangan memandangkan perlawanan tersebut menjadi peluang penting buat mereka dalam usaha melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Justeru, pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya Ratchaburi akan menganggap pertemuan menentang JDT sebagai satu perlawanan akhir yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Ratchaburi akan turun dengan misi menganggap aksi ini seperti satu perlawanan akhir kerana mereka hanya mempunyai satu peluang untuk meraih keputusan positif dan membuka laluan ke pusingan seterusnya,” katanya.
Dalam masa sama, Xisco mahu anak buahnya memiliki tahap motivasi dan karakter yang sama bagi memastikan JDT tidak mengulangi kesilapan ketika tewas kepada CAHN dalam aksi terdahulu.
Beliau menegaskan permulaan perlawanan menjadi aspek penting yang perlu diperbaiki dengan JDT dituntut untuk tampil lebih agresif sejak wisel pertama dibunyikan.
“Penting untuk kami memulakan perlawanan dengan kekuatan penuh dan pendekatan lebih agresif kerana kami tidak boleh mengulangi kesilapan seperti perlawanan terakhir menentang CAHN, khususnya pada minit-minit awal.
“Pemain mungkin melakukan kesilapan, tetapi kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama sebanyak dua kali,” jelasnya.
Xisco turut menekankan kepentingan meningkatkan intensiti permainan selain memastikan JDT mampu mengawal perlawanan dan memanfaatkan peluang yang terhidang untuk mendapatkan jaringan awal.
Menurutnya, aspek penyudah menjadi antara perkara penting dalam saingan peringkat tertinggi seperti ACLE apabila setiap peluang yang diperoleh perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Dalam saingan Liga Juara-Juara, apabila mendapat walaupun separuh peluang, kita perlu mempunyai kemampuan untuk menyudahkannya menjadi gol.
“Kami perlu kekal fokus sepanjang perlawanan dan tidak boleh membiarkan 20 atau 50 minit berlalu tanpa mempamerkan tahap permainan terbaik,” katanya.


