Corak ‘Pancang’ Data Facundo Garces Sebelum Terima Kerakyatan Di LaLiga
MakanBola
Malaysia NT

Corak pancang yang ditampilkan oleh pemain warisan baharu Malaysia, Facundo Garces di LaLiga merupakan suatu petanda baik.

Tonggak berusia 25 tahun itu diumumkan selaku pemain baharu buat Malaysia menjelang aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.

Pemain kelahiran Santa Fe ini menjadi pemain dengan reputasi tertinggi buat Harimau Malaya tatkala masih beraksi di LaLiga bersama Alaves bagi musim 2024/25.

Trajektori perjalanan karier Facundo Garces cukup luar biasa di LaLiga musim ini selepas beraksi dalam 10 perlawanan sejak menyertai Los blanquiazules pada Januari 2025.

Selepas 7 perlawanan berada di bangku simpanan, Garces tampil dengan satu aksi menakjubkan ketika menentang RCD Mallorca pada Februari lalu sebelum terus diberikan kepercayaan pada dua aksi berikutnya.

Sungguhpun hanya beraksi 45 minit dalam tiga perlawanan tersebut, beliau berjaya menambat hati Eduardo Coudet apabila berada dalam kesebelasan utama bagi 7 perlawanan berikutnya.

Tugasan terbesarnya adalah ketika membantu Alaves untuk mengikat jaguh Sepanyol, Atletico Madrid dengan keputusan 0-0 dan ketika menewaskan Real Sociedad dengan keputusan 1-0.

Berdasarkan statistik oleh laman Sofascore, Garces menerima penilaian 6.78 mata daripada 10 perlawanan yang diturunkan dan menerima penilaian tertinggi menentang Atletico Madrid (7.2) dan juga Real Sociedad (7.4).

Dari sudut bertahan, tonggak Argentina-Malaysia itu merekodkan 4 aksi tanpa bolos, 0.6 peratus pintasan, 0.5 bentesan, mendapatkan semula kawalan bola sebanyak 1.4 peratus selain tidak melakukan sebarang kesalahan ketika bertahan yang membawa kepada jaringan lawan dalam setiap aksi.

Beliau berpeluang untuk melakukan debut bersama Harimau Malaya apabila bakal bertemu Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun ini.