Malaysia Bawa Pemain Sepanyol, Vietnam Ada Tonggak Perancis
MakanBola
Malaysia NT

Pasukan kebangsaan Vietnam membawa sentuhan pemain kelahiran Perancis sementara Harimau Malaya sah mempertaruh tonggak Sepanyol.

Pasukan kendalian Kim Sang-sik cemerlang membuka gelanggang Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 setelah menewaskan Laos dengan keputusan 5-0.

Harimau Malaya pula membuka kempen bersama Peter Cklamovski dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-0 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Pertembungan antara Malaysia dan Vietnam mencuri tumpuan setelah kedua-dua pasukan membariskan pemain terbaik dalam misi meraih 3 mata di Bukit Jalil.

Vietnam telah memanggil seramai 23 orang pemain dengan beberapa muka baharu tersenarai termasuklah pemain warisan Perancis, Jason Pendant.

Tonggak berusia 28 tahun itu merupakan halangan terbesar pada posisi pertahanan dan beraksi selaku pertahanan kiri setelah mendapat pengesahan untuk mewakili Vietnam pada Mac lalu.

Beliau merupakan bekas pemain kebangsaan Perancis B-18 selain pernah berkelana di Amerika Syarikat bersama New York Red Bull FC.

Malaysia juga tidak ketinggalan selepas Cklamovski menyenaraikan tonggak warisan Sepanyol, Gabriel Palmero yang turut beraksi selaku pertahanan kiri.

Seorang lagi pemain yang bakal bersama Harimau Malaya ialah Hector Hevel yang kini beraksi di Portugal bersama SC Portimonense.

Aksi Malaysia vs Vietnam dijadual berlangsung pada 10 Jun di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam.