Tidak ramai tahu hubungan baik yang terjalin antara pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou dengan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Nama jurulatih Australia berusia 59 tahun itu kembali menjadi bualan apabila membantu Spurs mengalahkan Manchester United 1-0 di pentas final Liga Europa UEFA (UEL).
Kejayaan ini memastikan Tottenham Hotspur meraih trofi pertama mereka dalam tempoh 17 tahun. Kali terakhir kejayaan ini dicapai ialah tahun 2008 dalam saingan Carabao Cup.
Di sebalik kejayaan itu, tidak ramai tahu Cklamovski pernah bekerjasama dengan Postecoglou beberapa kali dalam kejurulatihan beliau.
Mereka bekerjasama buat kali pertama ketika menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Australia dari 2014 hingga 2017. Kolaborasi dua jurulatih hebat ini membantu The Socceroos muncul juara Piala Asia edisi 2015.
Cklamovski kemudiannya menjadi pembantu Postecoglou apabila beliau dilantik sebagai jurulatih Yokohama F. Marinos dari 2018 hingga 2020. Kolaborasi ini menyaksikan Marinos muncul juara liga pada 2019.
Setelah itu, Cklamovski kemudiannya menggalas peranan sebagai jurulatih bersama Shimizu S-Pulse, Monte Yamagata, FC Tokyo dan terbaru, Malaysia.
Menariknya, Postecoglou antara individu yang menjadi rujukan jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum menerima tawaran Harimau Malaya. Perkara ini turut disahkan beliau dalam temu bual bersama Stadium Astro baru-baru ini.
“Saya selalu berbicara dengan Pete, kami bekerja kerana kami kawan rapat. Ini menjadikan saya kini peminat bola sepak Malaysia. Saya ada melihat perlawanan pertamanya (aksi menentang Nepal) dan saya mengikuti perkembangan beliau,” katanya kepada pengacara Stadium Astro, Keeshanan Sundaresan.
“Seorang jurulatih dan individu yang bagus, memiliki keazaman dan cita-cita besar. Saya percaya beliau mampu memberi impak kepada bola sepak Malaysia.
“Saya tak sabar melihat perkembangan beliau bersama skuad kebangsaan kerana saya kenal Pete. Beliau akan mengambil kira semua faktor untuk memberi impak (kepada Harimau Malaya).”
Postecoglou berharap dapat menutup kempen Spurs dengan bergaya apabila kelab itu menentang Brighton pada 25 Mei.
Cklamovski pula kini sibuk memantau persediaan Harimau Malaya menghadapi tiga aksi antarbangsa. Selain dua aksi pemanas badan menentang Cape Verde, skuad negara akan menentang Vietnam untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun.