Harimau Malaya terus merekodkan kenaikan ranking positif untuk tahun 2026. Selepas jatuh ke tangga ke-136 dunia pada Julai lalu, skuad negara kembali bangkit.
Kedudukan semasa menyaksikan Malaysia kini menghuni kedudukan ke-133 dunia. Ini berdasarkan semakan terbaru ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 18 November lalu.
Kedudukan ini menyaksikan Malaysia berada di hadapan pasukan Asia Barat, Kuwait dan negara serantau, Filipina.
Hal ini turut disokong dengan pelbagai statistik membabitkan Harimau Malaya. Selepas mengharungi 12 perlawanan, Malaysia memenangi tujuh aksi dengan kadar sebanyak 58.3%.
Jentera serangan Malaysia juga kelihatan tajam dengan 20 gol. Antara kemenangan yang mencuri perhatian penyokong ialah kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura dan pesta gol ke atas Laos.
Harimau Malaya juga memiliki benteng kental apabila hanya dibolosi 11 gol dalam 12 perlawanan. Selain itu, Malaysia juga tidak dibolosi dalam enam perlawanan – empat daripadanya dalam kempen FIFA ASEAN Cup.

